Satu petang, seorang anak yang tiada hati untuk berkahwin berkata kepada ibunya:

Anak: Tah la bu, tak ada rasa nak kahwin. Tak kisah kahwin ke tak.

Ibu: Jangan, rugi kau nanti, tak da zuriat nanti.

Dalam rancangan Al-Muqaddimah, episod 29 bertajuk Hikmah di Sebalik Perkahwinan, yang disampaikan oleh Dato’ Abu Hassan Al-Hafiz:

Islam tidak mensyariatkan perkahwinan melainkan ada hikmah disebaliknya. Antara hikmah yang disenaraikan oleh para ulama’ ialah:

1. Menentukan nasab dan keturunan

2. Menentukan waris pusaka

3. Lahirkan zuriat dan keturunan

4. Terhalang dari perlakuan zina

5. Mewujudkan suasana hidup yang aman dan tenteram.

Masyarakat jahiliyah dulu, wanita tidak perlu berkahwin, begitu juga dengan lelakinya. Memadai hanya jika seseorang perempuan itu memerlukan lelaki, yang dianggap sebagai suaminya, dia tulis di depan rumahnya ‘welcome’. Ertinya semua lelaki boleh menidurinya, tetapi dengan syarat, kalau 10 lelaki yang datang menidurinya, ditakdirkan jika perempuan itu mengandung, maka perempuan itu berhak menentukan mana satukah bapa kepada bayi tersebut. Adakah ini dinamakan nasab?

Ini adalah sebahagian daripada isi kandungan episod tersebut.

Berbicara mengenai hikmah perkahwinan, nasab, keturunan dan zuriat, mengingatkan aku kepada satu peristiwa yang berlaku di hadapan mataku sendiri ketika aku bekerja sebagai pembantu klinik di sebuah klinik yang dimiliki oleh sepasang suami isteri berbangsa cina. Satu hari, satu pasangan melayu bertubuh kecil masuk ke dalam klinik. Lalu bertanya kepadaku:

Lelaki: Kak, doktor cina ya?

Aku: Ha’ah.

Lalu aku mendaftarkan nama si perempuan itu, kerana mereka pertama kali datang.

Tiba giliran mereka, aku pun memanggil mereka masuk ke dalam bilik doktor. Masa tu aku baru je kerja beberapa minggu. Jadi tak berapa mahir lagi dalam membantu doktor. Doktor menanyakan apa-apa sakit yang dialami. Kemudian, doktor menyuruh si perempuan itu baring di atas katil dan doktor memintaku untuk membantunya menarik peralatan perubatan. Rupa-rupanya, tu alat untuk scan. Doktor menyapu gel di atas perut perempuan tersebut dan kemudian meletakkan alat scan tu di atas perutnya, dan kemudian doktor menunjukkan imej janin yang tertera di skrin. Aku pun dengan semangatnya menjenguk-jenguk dan cuba untuk mencari imej yang dimaksudkan. Aku merasa happy dan excited untuk tengok kerana ini merupakan pengalaman pertamaku melihat orang melakukan scan janin ni. Sebelum ni tengok kat tv je. Doktor mengesahkan perempuan tersebut mengandung.

Kemudian pasangan tersebut duduk. Mereka meminta doktor menggugurkan kandungan tersebut.

Doktor: Tak boleh, sudah 2 bulan lebih, bahaya.

Perempuan: Sepupu saya, dah 3 bulan pun boleh.

Aku tersentak sebenarnya bila dengar jawapan dari perempuan tu. Astagfirullah…

Doktor: Tak boleh, risiko tinggi. Lagipun, sini memang tak ada buat abortion. Sepupu you tu buat dengan doktor mana?

Lelaki: Doktor si polan (nama tak boleh disiarkan).

Doktor: Ooo…bangsa itu, apa pun boleh. Semua pun dia buat.

Lelaki: Habis macam mana ni?

Doktor: Kahwin je lah.

Si lelaki itu serta-merta menggelengkan kepala, sambil berkata ”susahhh…”

Aku melihat saja kedua-dua pasangan tersebut. Dalam hati aku, memang berkata-kata. Mereka terus-terusan memujuk doktor untuk melakukannya. Doktor tidak mahu dan menyuruh mereka mencari doktor lain setelah semua nasihat doktor ditolak.

Apabila mereka sudah keluar, doktor mencatit sesuatu di kad perubatan dan menyerahkannya kepadaku. Aku membawa kad ke kaunter, di mana, di situ, rakan sekerjaku akan membaca kad tersebut untuk menyediakan ubat. Sebaik sahaja mereka membaca kad tu, terus ketiga-tiga rakanku itu bertanyaku dengan muka terkejut ” Eh! Pregnant eh!” Terus mereka membelek kad tu melihat nama dan IC. Memang pun perempuan tersebut umurnya baru 17 tahun, nak ambil SPM hujung tahun tu.

Peristiwa ni membuatkan aku berasa sedih dan malu. Sedih sebab kenapalah perempuan tu rela je menyerahkan kepada lelaki tu, dalam usia yang masih muda, sebaya je dengan adik aku. SPM pun tak lepas lagi. Lagi menyedihkan aku, masa dia mention mengenai sepupunya. Mungkin itu yang difikirkannya, tak pe, jika mengandung, boleh gugurkan. Ke… dah nak jadi macam zaman jahiliyah dulu tu. Aku sebenarnya amat bersimpati dengan perempuan itu. Tengoklah, laki tu pun tak mahu menikahi dia. Aku tengok je muka laki tu bila dia secepat kilat menggelengkan kepala masa doktor menyarankan agar mereka kahwin. Mujur lelaki tu masih lagi mahu mengaku kandungan tu dia punya dan nak juga bawa perempuan tu ke klinik, walaupun dia suruh buang. Kedua-dua pasangan tersebut masih muda. Malah tak salah kalau aku katakan, terlalu muda. Aku rasa malu, sebab mereka melayu, Islam dan doktor aku cina.

Peristiwa ini juga mengingatkan aku pada diriku sendiri agar tidak menjadi seperti mereka.

Yang baik dijadikan teladan, yang buruk di jadikan sempadan. Wallahualam..

Dari Abdullah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:

Hai para pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah sanggup memikul tanggungjawab berumahtangga, maka kahwinlah! kerana perkahwinan itu dapat menundukkan mata. Siapa yang belum sanggup, hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu dapat menundukkan nafsu berahi.

(Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Wanita dikahwini kerana 4 hal: kerana harta bendanya, kerana status soialnya, kerana keindahan wajahnya, kerana ketaatannya kepada agama. Pilihlah wanita yang taat pada agamanya, maka kamu akan bahagia”.

(Muttafaqun alaih)

error: Content is protected !!