Gambar dari Utusan Malaysia
JAKARTA 22 Sept. – Kira-kira 500 rakyat Indonesia melancarkan protes bermotosikal di luar kediaman Duta Besar Malaysia di Jakarta hari ini untuk mengutuk penderaan ke atas pembantu rumah dari Indonesia oleh majikan di Malaysia.
Berang dengan kes terbaru membabitkan rogol dan dera terhadap seorang pembantu rumah Indonesia, mereka mengepung kediaman Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan dan mendesak beliau meninggalkan Indonesia dalam masa dua hari.
Mereka juga mengancam untuk merayau-rayau di sebuah gedung membeli-belah berdekatan dan mengarahkan mana-mana rakyat Malaysia yang dijumpai supaya pulang ke Malaysia.
“Kami mahu Duta Malaysia meninggalkan Indonesia dalam masa dua hari. Jika tidak, kami akan mengeluarkan semua barang di rumahnya. Malaysia sudah melampau. Sekali lagi mereka menyeksa dan merogol pembantu rumah kami. Kami sudah hilang sabar. Mereka menghina Indonesia dan rakyatnya,” kata anggota kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera), Mustar Bonaventura.
Penunjuk perasaan melaungkan ‘rakyat Malaysia kurang ajar’, menyanyikan lagu kebangsaan dan membawa sepanduk dengan mesej ‘Ganyang Malaysia’.
Tambah Mustar, anggota Bendera akan menghalang rakyat Malaysia yang berbelanja di pusat beli-belah Senayan City agar tidak berada di Indonesia dan keluar dengan segera.
psst:  Perbuatan mendera pembantu rumah adalah lebih kepada perbuatan individu, bukan negara.

error: Content is protected !!