19 September 2010:
BAYAR PTPTN MELALUI POTONGAN GAJI SECARA WAJIB MULAI JUN 2011
Menurut Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),  Datuk Ismail Mohamed Said,  PTPTN akan melaksanakan pemotongan gaji secara wajib bagi mendapatkan semula pinjaman daripada peminjam yang gagal membayar pinjaman mulai Jun tahun depan. Cadangan ini diutarakan rentetan dari pembayaran secara sukarela oleh peminjam seperti melalui pemotongan gaji, bank dan secara atas talian dilihat tidak berkesan apabila 46,000 daripada 1.6 juta peminjam tidak pernah membayar balik pinjaman. Pelaksanaan itu akan membabitkan pindaan Akta PTPTN 1997. Cadangan bagi meminda undang-undang itu akan dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya awal tahun depan.

Sumber: Utusan Online

20 September 2010:

KABINET BELUM LULUSKAN: PELAKSANAAN BUKAN BERMULA JUN 2011

Gambar sekadar hiasan

Menteri Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan skim potongan gaji melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi peminjam (PTPTN) belum dibentangkan dan diluluskan oleh Kabinet menyebabkan skim itu tidak mungkin dapat dilaksanakan pada Jun 2011 seperti yang diumumkan oleh PTPTN.
Beliau menambah, Jun 2011 yang ditetapkan oleh kementerian itu adalah tarikh akhir yang diberikan kepada PTPTN untuk menyelesaikan rundingan dengan LHDN mengenai perkara-perkara berbangkit dalam melaksanakan skim tersebut.
‘‘Saya ingin membetulkan kenyataan yang dibuat oleh PTPTN, tarikh Jun 2011 itu adalah tarikh akhir yang ditetapkan untuk agensi itu menyelesaikan segala rundingan dengan LHDN dan menyerahkan cadangan kepada kementerian.
‘‘Kementerian kemudian akan melihat cadangan tersebut dan akan membentangkan serta mendapat kelulusan daripada Kabinet mengenai pindaan yang akan dibuat kepada Akta PTPTN 1997. Selepas diluluskan oleh Kabinet barulah boleh dibentangkan di Parlimen dan ia juga terpaksa mengikut giliran memandangkan terdapat banyak pindaan undang-undang lain.”
Beliau menambah, “pelaksanaan skim tersebut juga perlu diperhalusi seperti jumlah gaji maksimum peminjam dan jumlah potongan. Potongan gaji melalui LHDN jika dilaksanakan oleh kerajaan hanya akan melibatkan peminjam-peminjam baru memandangkan PTPTN perlu memberikan nombor fail kepada agensi terbabit untuk melakukan potongan gaji. Peminjam-peminjam sedia ada atau lama tidak terlibat dalam skim potongan melalui LHDN sebaliknya mereka perlu mengikut dasar sedia ada iaitu membayar balik di bank-bank ataupun kaunter PTPTN. Sekiranya peminjam lama itu hendak mengikuti skim tersebut mereka perlu memohon kepada PTPTN agar ia dapat dilaksanakan oleh LHDN.’’
21 September 2010:
SENARAI HITAM NAMA PEMINJAM LIAT BAYAR PTPTN
Daripada RM23 bilion yang telah dikeluarkan dari dana pinjaman, hanya RM1.8 bilion berjaya dikutip. Ia menunjukkan betapa seriusnya masalah yang dihadapi. Kedegilan peminjam menyebabkan peluang pelajar baru lain untuk menikmati kemudahan pinjaman yang sama menghadapi banyak rintangan. Lihatlah luahan pelajar baru mendaftar setiap tahun yang kecewa kerana wang PTPTN lambat dimasukkan ke dalam akaun mereka. Ketika ini, pelajar tidak pula malu meminta-minta, tetapi apabila tamat pengajian dan mendapat kerja, mereka lupa terhadap tanggungjawab membayar hutang. Bagi yang beragama Islam pula, mereka lupa bahawa membayar hutang adalah satu kewajipan yang perlu dilaksanakan tanpa kompromi.
Janganlah pentingkan diri sendiri kerana ada laporan menyebut peminjam liat membayar bukan kerana tidak ada duit, tetapi kerana gaji yang dinikmati digunakan untuk membayar hutang kereta, hutang rumah, hutang kad kredit dan lain-lain. Itu yang didahulukan sehingga hutang PTPTN yang wajib dibayar sekurang-kurangnya RM150 sebulan diketepikan daripada bajet bulanan mereka.
Hairan juga kerana hutang kereta yang mungkin berjumlah RM500 sebulan atau kad kredit RM350 sebulan, boleh dibayar mengikut jadual. Mungkin kerana ketegasan pihak bank yang sentiasa mengejar peminjam siang dan malam termasuk membuat panggilan telefon hampir setiap hari menyebabkan hutang-hutang berkenaan dibayar. Selain itu, paling ditakuti mereka apabila nama disenarai hitam.
Jadi, sudah tiba masanya pihak pengurusan PTPTN mengambil langkah menyenarai hitam peminjam yang liat, selain memotong gaji mereka setiap bulan. Langkah itu dilihat lebih berkesan kerana jika nama telah disenarai hitamkan, mahu tidak mahu mereka perlu membayar balik hutang. Jika tidak, maka selama-lamanya nama mereka akan kekal dalam senarai hitam sehingga hutang tersebut dilangsaikan.
Mulai hari ini juga, PTPTN perlu melupakan strategi berlembut melalui pengiriman notis amaran kepada peminjam liat sebagaimana menjadi amalan. Lupakan itu, kerana sudah tiba masanya tindakan tegas diambil melalui undang-undang. Ini sahaja jalan untuk mendapatkan balik pinjaman.

22 September 2010:
PESANAN DATUK DR. MOHAMAD SHAHROM KEPADA PELAJAR DI IPT
Pengerusi PTPTN sebelum ini, Datuk Dr. Mohamad Shahrom Osman mengingatkan mereka yang masih berada dalam pengajian agar menghargai dan berterima kasih dengan pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan untuk membantu mereka menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi.

“Gunakanlah wang berkenaan untuk keperluan pengajian. Jangan boros berbelanja seperti membeli telefon bimbit dan motosikal. Hargailah dengan ikhlas setiap pertolongan kerajaan dan PTPTN”.

Sumber: Utusan Online

Psst: Dah pinjam memang patut bayar. Kesian kat adik-adik nak pinjam PTPTN tak dapat. Tapi paling terbaik ialah kalau dapat biasiswa. Hutang pun tak banyak lepas grad nanti. Sebab, kalau dah pinjam PTPTN, memang seksa nak membayarnya, sebab kena bayar balik berganda-ganda. Sebab tu juga ramai yang mendiamkan diri, tak nak bayar, tapi of course lah tak bayar balik hutang bukan jalan yang terbaik.

error: Content is protected !!