KUALA LUMPUR: “Saya reda dengan keputusan ini dan menganggap semua yang terjadi adalah ujian daripada Allah,” kata Ameng, 42, ketika ditemui pemberita di kaunter jaminan Mahkamah di sini semalam.
Vokalis kumpulan spring itu berkata demikian selepas dikenakan hukuman dua bulan penjara dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan memasukkan dadah jenis ganja ke dalam badannya, April lalu.
Majistret Zaki Asyraf Zubir turut memerintahkan Ameng atau nama penuhnya Wan Aminuddin Wan Ismail dikenakan tiga tahun pengawasan daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan sekiranya gagal menjelaskan denda, dia boleh dikenakan empat bulan penjara.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Ameng untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan pengawasan itu sementara rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi dengan syarat tambahan, notis rayuan perlu difailkan pada hari ini (semalam) dan wang jaminan sebanyak RM3,500 dinaikkan kepada RM5,500.
Sumber: MyMetro