Sebagai manusia, kita tak dapat lari dari diuji. Manusia diuji dari pelbagai aspek dan ujian yang datang dalam pelbagai bentuk dan rupa. Setiap manusia diberikan ujian mengikut kemampuan masing-masing. Ujian juga sebagai rencah dalam kehidupan di muka bumi ini.
Sebelum ini, aku pernah keluarkan entri bertajuk “Kena Strok“. Genap 3 minggu setelah dimasukkan ke hospital, mak long pergi menyahut seruan Ilahi. Allah lebih menyayangi mak long. Walaupun kami semua bersedih, namun, kami redha dengan ketentuanNya. Ya, biarlah dia pergi daripada dia terus menanggung kesakitan yang hanya dia dan Allah sahaja yang tahu. Arwah pergi meninggalkan kami sehari selepas Deepavali yang lalu. 
Pagi Isnin lepas, kami dikejutkan dengan 1 lagi berita. Ibu Pak Long pula pulang kepada penciptanya. Ya, Allah, kasihan sungguh Pak Long. Baru sahaja kehilangan isteri tercinta, kini kehilangan ibu yang tersayang pula. Kehilangan 2 insan yang dikasihi dalam tempoh 2 minggu, sudah cukup memberikan kesedihan kepada Pak Long. Kami hanya mampu bersimpati. Apa yang boleh dilakukan. Sudah kehendak Yang Maha Esa.
Kejadian yang menimpa Pak Long mengingatkan aku pada suami seorang kerani di tempat kerjaku. Beberapa bulan yang lalu, suaminya kehilangan ibu dan juga atuk dalam tempoh beberapa minggu juga. Kini baru kufahami rasa pedih yang ditanggung.
Peristiwa ini juga menyebabkan aku mula membayangkan perasaan mereka yang kehilangan beberapa orang yang tersayang dalam sekelip mata, seperti yang tertera di TV dan dada-dada akhbar. “5 sekeluarga maut di jalan raya”. AllahuAkhbar. Andai insan tersayang pergi seorang demi seorang dalam tempoh yang terdekat pun sudah terasa sedihnya, inikan pula kehilangan seluruh ahli keluarga dalam 1 masa.
Begitulah, antara ujian yang Dia berikan kepada makhluknya, untuk menguji tahap keimanan hamba-hambaNya. Yang hidup, pasti akan mati. Dunia ini hanyalah sementara. Bahagian masing-masing telah ditentukan. Ini mungkin bahagian mereka, bahagian aku, aku pun tak tahu lagi macam mana. Yang pasti, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
 “Bersabarlah”
Sangat mudah untuk diungkapkan.
Namun,
realitinya,
Adakah mudah untuk bersabar?.


Kongsi entri ini dengan rakan-rakan anda yang lain di Facebook dengan menekan button share ini.

error: Content is protected !!