Komik diambil dari Kembara
Tahun ini, Malaysia akan menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan yang ke-54. Rasanya, elok jugalah jika Aku Anak Malaysia Merdeka dan juga Anda Anak Malaysia Merdeka mengimbau kembali, jerih payah nenek moyang kita mempertahankan negara dari penceroboh dan penjajah, juga mengimbau detik-detik kejayaan mereka mendapatkan kemerdekaan untuk negara tercinta sehingga menitiskan air mata kemerdekaan. Terdapat pelbagai cara tingkatkan penghayatan kemerdekaan pada generasi muda.
Banyak air mata yang berlinang dan darah yang tertumpah saat menghadapi keadaan getir, darurat, perang dan pergelutan sana-sini. Detik-detik kesengsaraan itu, hanya mereka yang alaminya sahaja yang benar-benar tahu akan perasaan yang mereka hadapi tatkala itu.
Filem Bukit Kepong arahan Tan Sri Jins Shamsudin, walau ditayang dan ditonton berapa ratus kali sekalipun, masih boleh menitiskan air mata penonton kerana serangan pengganas komunis pada malam 23 Februari 1950 di Balai Polis Bukit Kepong itu meninggalkan kesan hitam yang mendalam dan menjadi sejarah yang tidak dapat dilupakan oleh rakyat negara ini. Filem yang mengisahkan rentetan peristiwa berdarah ini mampu memberikan kesedaran pada generasi sekarang dan generasi akan datang.
Selain dari menonton filem-filem Bukit Kepong dan Leftenan Adnan, sebenarnya, adalah bagus untuk kita generasi sekarang ini mendengar cerita dari mulut mereka yang hidup pada zaman penjajahan, kerana dari situlah kita boleh sedar dan tahu tentang keperitan sebenar hidup nenek moyang kita dan seterusnya kita boleh menghargai pengorbanan mereka, susah payah mereka untuk mendapatkan kemerdekaan.
Seandainya sudah tiada ahli keluarga yang hidup di zaman perit itu, boleh juga membaca karya-karya seperti novel dan sajak yang dihasilkan pada zaman dahulu. Sejak dari zaman remaja, aku sangat suka dan berasa tertarik untuk membaca novel yang berlatarbelakangkan zaman penjajahan. Novel Salina, karya A.Samad Said memberi kesan kepada aku dan sehingga kini, aku masih mengingati jalan ceritanya.
Kartun dari Senyum Kambing, diedit oleh Sya Isya
Namun begitu, muda-mudi zaman kini ramai yang tidak mengerti erti kemerdekaan yang sebenar. Penghayatan kepada ‘kemerdekaan’ semakin hari semakin menyusut. Malah, kadang-kadang, terpapar di dada akhbar aktiviti-aktiviti tidak sihat yang dilakukan oleh muda-mudi pada malam menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan.
Teringat aku pada ucapan TNC UTHM ketika sessi bersama ibu bapa ketika pendaftaran pelajar baru IPTA sesi 2011/2012 yang baru sahaja minggu lepas berlangsung. Ketika itu, aku menghantar adik bongsu aku ke sana. Menurut beliau, jika hanya mendengar dari ibu bapa tentang Bukit Kepong, Bukit Kepong, tapi penghayatan dari anak-anak adalah kurang, maka adalah elok sekiranya ibu bapa membawa anak-anak ke tempat kejadian bagi memberi peluang kepada anak-anak melihat sendiri tempat kejadian agar mereka dapat hayati peristiwa yang berlaku. Idea ini bagi aku bagus juga. Ini adalah idea yang baik sebagai cara tingkatkan penghayatan kemerdekaan pada generasi muda. Iyalah kan, jika hanya mendengar, mungkin masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Jika hanya melihat di kaca tv, mungkin kurang dirasai keperitan yang dihadapi. Tapi jika melihat secara live dengan mata kepala sendiri tempat kejadian sambil mendengar cerita dari mulut mereka yang terlibat secara langsung, atau paling tidak pun dari waris-waris mereka yang terkorban, tentulah ia akan memberikan kesan di hati.
Masih lagi ku ingat lagu Warisan yang sering dinyanyikan ketika zaman sekolah rendah dulu, terutama sekali ketika pertandingan lagu-lagu patriotik, lagu ini akan menjadi lagu favourite untuk dipertandingkan.
LIRIK LAGU WARISAN:
Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang
Nenek moyang kaya-raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa di antara kita
Cinta lenyap di arus zaman
Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Kita kan merintih sendiri
Jangan buang waktu lagi
Majulah raih sebuah mimpi
Hapuskan sengketa
Teruskan usaha
Kita kan gagah di nusantara
Kita kan gagah di nusantara
Kita kan gagah di nusantara
Kita kan gagah di pentas dunia
Adakah nyanyi hanya sekadar nyanyi sementelah tune lagu ini juga sedap bunyinya?. Sedangkan lagu ini mempunyai mesej yang sangat mendalam yang ingin disampaikan. “Bumi dipijak milik orang”, “Akibat sengketa sesama kita”, “Hasil mengalir ke tangan yang lain” adalah antara bait yang sangat mendalam maksudnya dan menyentuh kalbu jika benar-benar dihayati.
Oleh itu,
Marilah kita bersama-sama memajukan diri menggapai impian,
Hapuskan sengketa,
Teruskan usaha,
Kita akan gagah di nusantara!
Jangan biarkan air mata kemerdekaan mengalir begitu sahaja!!
Kerana, nak merdeka bukannya mudah, ya!
p/s: Entry ini adalah entri menyahut Cabaran Malaysia #Merdeka54 anjuran Denaihati dengan kerjasama eQurban.com sempena menyambut Hari Kemerdekaan ke-54.
wahaa. bagus betul cara-cara nak tingkatkan penghayatan ni.
citer Bukit Kepong dah sempat tengok. hehe 🙂
bagus eh…moga pemuda pemudi masa kini lebih menghayati erti kemerdekaan