Setelah entri kelayakan MERAKAM DETIK-DETIK TERINDAH DI SELANGOR untuk menyertai My Selangor Story Contest ini dinilai, aku berjaya TERPILIH SEBAGAI TOP 30 BLOGGERS MY SELANGOR STORY 2011.

Maka, perjalananku ke Selangor bermula pada 28 September lalu tepat jam 6.20 pagi. Aku melangkah keluar dari bilik penginapan menghala ke arah sebuah teksi berwarna merah yang sedang menungguku di kawasan parking kolej kediamanku.

 Gambar sekadar hiasan. Kredit: infotaxi

Perjalanan menuju ke perhentian bas Taman Sri Putri, Skudai, hanya mengambil masa 10 minit dan aku membayar RM15 kepada pemandu teksi (mahal sikit kerana aku telefon teksi datang dan mereka caj perjalanan lewat malam. Harga biasa RM8 sahaja).  Di sini, aku perlu menunggu bas untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, juga dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Menurut maklumat yang terdapat pada laman web Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, terdapat 3 jenis perkhidmatan bas dari Larkin ke  lapangan terbang, di mana bas mula bergerak dari Larkin, Johor Bahru mulai jam 6 pagi dengan selang masa 15-20 minit setiap jenis bas.

Tiba di perhentian bas lebih kurang jam 6.30 pagi. Aku sabar menanti sehingga jarum jam bergerak ke angka tujuh. Aku sudah hilang kesabaran dan sudah tidak senang duduk, risau kerana bas masih tak kunjung tiba. Kapal terbang akan berlepas jam 8.45 pagi, maknanya aku perlu berada di lapangan terbang sekurang-kurangnya jam 7.45 pagi.

Dalam kerisauan, otakku ligat memikirkan cara terbaik dan paling cepat untuk tiba di lapangan terbang tepat pada masanya. Ada 3 pilihan:

1. Telefon kawan minta tolong hantar

2. Gunakan perkhidmatan teksi

3. Naik bas ke perhentian bas Senai dan kemudian naik teksi ke lapangan terbang.

 Gambar sekadar hiasan. Kredit: majujc

Ketika aku sedang berfikir, muncul bas yang menuju ke Senai dan Kulai. Maka aku memilih pilihan yang ke-3. Pilihan pertama tak dipilih, kerana memikirkan tempoh masa yang diperlukan oleh kawan untuk bersiap dan kemudian ambil aku di perhentian bas. Ini akan memakan masa selain daripada mungkin kawan sedang lena tidur. Pilihan kedua pula, akan menelan kos perbelanjaan yang tinggi. Biasalah, teksi. 🙁

15 minit berikutnya, tiba di perhentian bas Senai dan terus menuju ke arah teksi yang berada di situ. Melalui perbualan dengan pemandu teksi, baru aku tahu bahawa pada hari-hari biasa (Isnin-Jumaat), memang sangat susah nak dapat bas pergi ke lapangan terbang kerana tak ramai orang ke sana kecuali pada hari Sabtu dan Ahad. Uhuh….nasib baik aku tak tunggu lebih lama. Aku kemudian membayar RM15.00 kepada pemandu teksi tersebut. Menurutnya, kalau naik teksi lain lagi mahal, RM 22.00. Bunyinya macam best je, konon-konon murah lah. Yang sebenarnya aku telah ditipu, RM15.00 yang aku bayar ini juga mahal. Akan diceritakan pada entri akan datang, bagaimana aku boleh tahu harga sebenar dari perhentian bas Senai ke Lapangan Terbang Senai. (Sedih bila dapat tahu kena tipu. Ceh! Sabar je lah) 🙁

Tiba di lapangan terbang tepat jam 7.30 pagi. Alhamdulillah, lega rasanya dah sampai. Aku terus check in dan kemudian bergerak ke balai pelepasan. Keadaan agak lengang pada ketika itu.

Jam 8.25 pagi, mula bergerak ke dalam perut kapal terbang Firefly. Inilah kapal terbang yang aku naiki. Gambar di ambil dari balai pelepasan.

Dalam perjalanan ke Subang ketika sedang asyik menghayati pemandangan, seorang pramugari datang menghampiriku:

Pramugari: “Miss, muffin or peanuts?”

Aku pilih peanuts secara spontan. Lepas tu rasa menyesal pula, sebab gigiku sedang sakit kerana gigi bongsu baru nak tumbuh. Patutnya pilih muffin tadi. Takpe, balik aku pilih muffin pula.

Kemudian, seorang lagi pramugari bertanya: “Guava juice or lemon juice?”

Pilihanku – Guava juice.

Sebenarnya, ini merupakan pengalaman pertamaku bersama Firefly. Sebelum ini sudah 3 kali penerbanganku bersama Air Asia (untuk ke Beijing, Pulau Pinang dan Tawau). Pandanganku secara peribadi, penerbangan ke Subang bersama Firefly berjalan dengan lancar. Cuaca agak baik dan keadaan di dalam pesawat sangat tenang dengan alunan muzik dari corong radio. Pramugari cantik, ramah dan mesra. Perjalanan selama 1 jam tak terasa dek kerana kerusi yang empuk, agak besar dan selesa. Tahu-tahu je pesawat dah nak mendarat. Tak puas rasanya menikmati pemandangan indah di luar pesawat. Sememangnya aku suka melihat keindahan ciptaan Allah s.w.t. Terasa kebesaranNya mencipta langit dan bumi untuk khalifahnya.

Perjalananku untuk My Selangor Story Contest 2011 semakin hampir. Pesawat mula mendarat dan aku melangkah keluar dari pesawat, diiringi oleh senyuman manis pramugari yang mengucapkan “thank you”.

Terima kasih kepada Firefly kerana menaja penerbanganku dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor ke Sky Park Terminal, Subang, Selangor ini yang berharga RM97.95.

Info Tambahan mengenai Firefly:

Nama Firefly (dalam bahasa Mandarin fei ying; dalam bahasa Malaysia membawa maksud kunang-kunang) dipilih kerana menggambarkan sistem penerbangan yang tangkas, bergemerlapan, menarik dan menyeronokkan.

Bersambung di entri berikutnya, pertemuanku dengan krew dan juga peserta-peserta lain My Selangor Story Contest 2011 di Sky Park, Subang.

Terima kasih kepada para penaja My Selangor Story Contest 2011:

Lembaga Pelancongan Rasmi: Tourism Selangor
Sistem penerbangan rasmi: Fly Firefly Sdn Bhd
Internet rasmi: The Cube
Restoran rasmi: The Mix
Kamera rasmi: Pentax

Suka entri ini? Klik LINK INI untuk vote. 😀

error: Content is protected !!