APA ADA DALAM SBPA? INTIPATI PELAKSANAAN SBPA PERKHIDMATAN AWAM

0 Flares 0 Flares ×

Berikut adalah antara intipati pelaksanaan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dipersetujui oleh Kerajaan:

1. Pelaksanaan transformasi Perkhidmatan Awam melalui lima (5) inisiatif iaitu Perkhidmatan Awam yang kejat (lean civil service), kepimpinan dinamik, modal insan berkualiti, Perkhidmatan Awam yang fleksibel dan saraan yang kompetitif.

2. Pewujudan Pelan Induk Saraan Perkhidmatan Awam (PISA) bagi melaksanakan rombakan sistem saraan Perkhidmatan Awam secara tersusun.

3.  Pengekalan prinsip-prinsip saraan yang berkuat kuasa dengan penambahan empat (4) prinsip baru iaitu kadar upah untuk kerja mengikut Kumpulan Perkhidmatan, kadar upah untuk individu berdasarkan bakat, keupayaan dan pengalaman, kadar upah untuk kerja bagi individu (subject matter expert) serta kadar upah tambahan untuk kerja mengikut prestasi.

4.  Pembentukan hierarki Perkhidmatan Awam yang terdiri daripada empat (4) peringkat iaitu Kumpulan Premier, Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta Kumpulan Pelaksana yang menggantikan Kumpulan Sokongan.

5.  Peruntukan gaji secara single point tanpa Kenaikan Gaji Tahunan kepada Kumpulan Premier dan konsep Jadual Gaji Minimum-Maksimum kepada Kumpulan Pengurusan Tertinggi dengan Kenaikan Gaji Tahunan diberi mengikut pencapaian prestasi.

6.  Peruntukan Jadual Gaji Sebaris kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta Kumpulan Pelaksana.

7.  Pelaksanaan enam (6) strategi untuk merealisasi inisiatif Perkhidmatan Awam yang kejat iaitu kawalan saiz Perkhidmatan Awam (right-sizing), kajian pertindihan fungsi antara agensi (duplication), penjajaran fungsi utama perkhidmatan (realignment), perkhidmatan yang boleh diserah urus (outsourcing), perekayasaan proses kerja (business process reengineering) dan kajian semakan skim perkhidmatan (revision).

8. Penambahbaikan laluan kerjaya Pegawai Perkhidmatan Pendidikan melalui pelaksanaan konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru dengan memberi fokus kepada Laluan Pengajaran dan Pembelajaran (LPDP).

9.  Penambahbaikan laluan kerjaya pegawai dan anggota dalam Senarai Tugas Am ATM berdasarkan subject matter expert dalam bidang-bidang kritikal dengan diberi kenaikan gred gaji tanpa bersandarkan kepada pangkat.

10. Pemberian peningkatan gred gaji yang setara dengan gred kenaikan pangkat tanpa dinaikkan pangkat ke jawatan kosong kepada pegawai yang diiktiraf sebagai subject matter expert.

11.  Pengenalan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) yang mengandungi dua (2) komponen iaitu Penilaian Kompetensi dan Potensi (PKP), dan Program Pembangunan Kompetensi dan Potensi (BKP) bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan.

12.  Perluasan pemberian kemudahan Cuti Belajar Bergaji Penuh kepada pegawai dalam Kumpulan Pelaksana bagi membolehkan pegawai mengikuti latihan kemahiran di bawah program SkillsMalaysia.

13.  Pengekalan prinsip-prinsip pemberian elaun sedia ada dan penambatan kadar bagi empat (4) elaun yang pada ketika ini kadarnya ditentukan berdasarkan gaji iaitu Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal, Bayaran Insentif Subjek Pendidikan, Bayaran Insentif Wilayah dan Bayaran Insentif Pedalaman.

14.  Pengekalan prinsip-prinsip pemberian kemudahan sedia ada dengan penambahbaikan melalui Program Keseimbangan Kehidupan dan Kerjaya yang memperkenalkan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah.

15.  Pemansuhan dasar pelepasan dengan izin yang diganti dengan dasar pelepasan jawatan bagi mempertingkat mobiliti pegawai dalam perkhidmatan.

16.  Pelaksanaan Dasar Pemisah (Exit Policy) kepada penjawat awam yang berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan.

17.  Penyelarasan pencen kepada pesara Perkhidmatan Awam secara peratusan berasaskan kajian berkala kos sara hidup berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013.

18.   Peningkatan umur persaraan wajib dari 58 tahun ke 60 tahun bertujuan mengekalkan pegawai mahir di dalam perkhidmatan.

19.  Pengekalan pegawai yang menolak SBPA di bawah sistem saraannya, skim perkhidmatan dan syarat perkhidmatan sedia ada (SSM).

CUEPACS bantah beberapa opsyen SBPA: Minta 1.4 Juta Kakitangan Awam Tidak Tandatangan Tawaran JPA.

Sumber: FB KPPA

Kongsi intipatri pelaksanaan SBPA ini dengan rakan-rakan anda yang lain di Facebook dengan menekan butang share ini.

0 comments… add one

Leave a Comment

CommentLuv badge