TARIKH TERIMA OPSYEN SBPA DILANJUTKAN KE 15 JANUARI, OPSYEN PERSARAAN 60 TAHUN KEKAL 30 DISEMBER

TARIKH TERIMA OPSYEN SBPA DILANJUTKAN KE 15 JANUARI, OPSYEN PERSARAAN 60 TAHUN KEKAL 30 DISEMBER

3 Flares 3 Flares ×

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi penjawat awam kepada 15 Jan depan, kata Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Dr Ismail Alias. Bagaimanapun, tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan 60 tahun kekal pada 30 Dis ini.

“Kita akan meneruskan SBPA, dan sebenarnya Cuepacs tidak menolak SBPA. Opsyen yang kita beri itu, ada dua. Pertama, opsyen umur persaraan 60 tahun itu tetap pada 30 Dis tarikh tutupnya kerana ia melibatkan banyak isu perundangan.

“Manakala opsyen SBPA, memandangkan tempoh itu agak terdesak, JPA bersetuju supaya ia dilanjutkan kepada 15 Jan depan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan rundingan dengan Cuepacs yang diketuai oleh Presidennya Datuk Omar Osman, di ibu pejabat JPA di sini hari ini.

Rundingan itu yang berlangsung selama lebih tiga jam diadakan untuk menyelesaikan isu berbangkit berhubung pelaksanaan SBPA yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Jan ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengarahkan supaya Cuepacs dan JPA mengadakan rundingan dengan segera bagi menyelesaikan isu tersebut.

Sebelum ini, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama.

Dr Ismail berkata pada keseluruhannya, rundingan tersebut mendapat kata sepakat untuk melaksanakan SBPA dan lima isu termasuk ‘Exit Policy’ yang dibangkitkan oleh Cuepacs turut dibincangkan.

“Jadi dalam konteks ini, pendekatan kita ialah melihat kepada beberapa isu yang telah dikemukakan oleh Cuepacs, berbincang dan akhirnya mendapat persetujuan tertentu,” katanya.

Beliau berkata bagi penjawat awam yang telah pun menandatangani surat tawaran opsyen SBPA, mereka tidak perlu bimbang kerana JPA telah memaklumkan bahawa opsyen SBPA masih berjalan seperti yang ditetapkan cuma tempohnya akan dilanjutkan.

Sementara itu, Omar pada sidang media sama berkata rundingan hari ini mencapai kata sepakat yang amat baik dan persetujuan bersama hari ini merupakan jaminan kepada penjawat awam untuk menandatanganinya.

Omar berkata lima perkara yang telah dibangkitkan oleh Cuepacs ternyata selesai apabila mendapat hak rundingan awal, disusuli dengan rundingan tiga bulan sekali khusus berhubung SBPA dan rundingan akan diadakan sehingga perkara berbangkit dapat diselesaikan bersama.

Katanya opsyen bagi umur persaraan 60 tahun tiada masalah dan penjawat awam boleh menandatangani tawaran opsyen tersebut atas kapasiti masing-masing, hanya tawaran opsyen SBPA yang diberikan dalam tempoh 15 hari itu yang didapati singkat.

Beliau berkata rundingan hari ini turut bersetuju untuk melakukan penambahbaikan gred iaitu bagi gred 17 dalam kumpulan pentadbiran dan keselamatan khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Jabatan Imigresen.

“Kita dah bersetuju dalam tempoh tiga bulan ini akan dibuat semakan semula, akan melakukan kajian menyeluruh. Jadi, kita harap bersabar,” katanya.

Mengenai ‘Exit Policy’, Omar berkata rundingan hari ini mencapai persetujuan supaya wakil Cuepacs hadir dalam panel di JPA sebagai pemerhati sebelum seseorang penjawat awam itu dikenakan tindakan.

Katanya langkah itu bagi mengelak sebarang ketidakadilan atau kejadian dianiaya dan sebelum sebarang tindakan diambil atau dibersarakan awal, wakil Cuepacs akan hadir untuk memberi pandangan.

“Jadi, kita dah berunding, jabatan tidak boleh membersarakan kakitangan di bawah exit policy. Ia (jabatan) hanya akan melaporkan kepada JPA mengenai masalahnya, dan di JPA nanti, Cuepacs akan hadir sebagai pemerhati, dan dari situ kita akan selesaikan.

“Apabila kita dalam (panel) itu, kita rasa adil sebelum menentukan seseorang penjawat awam itu untuk dibersarakan awal,” katanya.

Omar berkata satu taklimat akan diadakan pada minggu hadapan antara Cuepacs dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah.

Katanya taklimat itu berhubung kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus yang didapati tidak begitu jelas mengenai golongan penjawat awam yang akan menikmati kenaikan tersebut dan sama ada ia dikira berdasarkan gaji pokok atau gaji hakiki. – BERNAMA

Sumber: mstaronline

Cuepacs bantah beberapa opsyen SBPA.

Apa ada dalam SBPA?.

Kongsi info ini dengan rakan-rakan anda yang lain di Facebook dengan menekan butang share ini.

0 comments… add one

Leave a Comment

CommentLuv badge