MAKSUD SYAABAN

Syaaban bererti ‘berserak-serak’. Bulan Syaaban bulan berserak-serak. Dinamakan demikian kerana pada bulan ini, masyarakat Arab pada masa dahulu berserak-serak pergi ke lembah-lembah mencari air, kerana pada bulan Syaaban ini biasanya mereka kekurangan air.

Dalam keterangan lain, sebab dinamakan Syaaban ini kerana pada bulan ini terdapat berserak-serak (banyak) kebajukan yang harus direbut oleh umat Islam.

Yahya bin Mu’az menyatakan bahawa kata-kata Syaaban terdiri dari 5 huruf, di mana setiap huruf mengandungi erti pemberian atau kurnia Allah kepada orang yang beriman.

Huruf “Syin”: Singkatan “syaf’ah” dan “syaraf” bermaksud syafaat dan kemuliaan.

Huruf “‘Ain” : Singkatan “Ahada” ertinya janji.

Huruf “Ba” : Singkatan “bir” ertinya kebajikan.

Huruf “alif” : Singkatan “Ulfah” ertinya lemah lembut.

Huruf “nun: Singkatan “nur” ertinya cahaya.

Jadi, setiap orang yang menghormati bulan Syaaban dan mengisinya dengan pelbagai amal ibadah, maka Allah menjanjikannya kemuliaan, kedudukan tinggi dan kebajikan yang sangat banyak di sisi Allah serta beroleh syafaat dan bersifat lemah lembut dalam hidupnya.

AMAL IBADAH YANG DIANJURKAN PADA BULAN SYAABAN

solat sembahyang berdoa

1. Solat sunat 12 rakaat pada malam 1 Syaaban

Tegakkanlan solat sunat 12 rakaat pada malam 1 Sya’ban dengan 6 salam. Dibaca pada tiap-tiap rakaat sesudah Fatihah akan surah Al-Ikhlas 5x. Semoga diampuni Allah dosanya.

2. Berpuasa

Aisyah r.a. berkata: “Tidak pernah Rasulullah S.A.W. berpuasa lebih banyak dari bulan Syaaban (kecuali bulan Ramadhan) kerana sesungguhnya baginda telah berpuasa sebulan penuh di mana baginda telah bersabda “Lakukanlah amalan apa yang mampu oleh kamu kerana sesungguhnya Allah tidak pernah jemu sehingga kamu sendiri yang berasa jemu.” (HR. Bukhari).

Zaid berkata: “Aku telah bertanya pada Rasulullah S. A. W., ya Rasulullah aku tidak pernah menyaksikan seumpama puasamu di bulan Syaaban kecuali di bulan Ramadhan. Rasulullah bersabda: “Itulah bulan Syaaban di mana manusia lalai mengenainya iaitu antara bulan Rejab dan Ramadhan, ia adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan pemilik sekalian alam. Maka aku sangat suka sekiranya amalanku diangkat sedangkan pada masa itu aku dalam keadaan berpuasa.” (HR Ahmad).

Dalam riwayat yang lain dikatakan bahawa diantara kelebihan berpuasa pada bulan Syaaban ialah:

a. Sesiapa yang berpuasa pada hari Isnin yang terakhir dalam bulan Syaaban akan diampunkan dosanya.

b. Mereka yang berpuasa pada hari Khamis pertama dan Khamis terakhir bulan Syaaban, akan dimasukkan ke dalam syurga.

c. Mereka yang berpuasa sunat sehari dalam bulan Syaaban akan diharamkan tubuhnya daru api neraka dan masuk syurga.

d. Mereka yang berpuasa 3 hari dalam bulan Syaaban dan berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W. sebelum berbuka puasa, akan diampunkan dosanya dan diberkati rezekinya.

e. Mereka yang dapat menyempurnakan puasa sunat sebelum Syaaban, maka akan dimudahkan Allah semasa sakaratul maut, terlepas dari seksa kubur, ditutupkan Allah aibnya pada hari kiamat dan diwajibkan baginya syurga”.

3. Mengerjakan solat sunat Nisfu Syaaban. 

Rujuk entri “keutamaan mengerjakan solat sunat Nisfu Syaaban”. Cara-cara untuk menunaikan solat sunat Nisfu Syaaban ada dikebanyakan kitab-kitab dan buku-buku himpunan solat-solat sunat. Setelah selesai solat sunat Nisfu Sya’ban, baca Yasin sebanyak 3x dengan niat pada Yasin pertama – mohon panjang umur dalam kesihatan dan kuat beribadah. Yasin kedua- niatkan mohon tetap iman dan jauh dari bala. Yasin ketiga – niat mohon murah rezeki lagi halal, untuk belanja ibadah.

4. Beristighfar, berselawat dan berzikir.

Perbanyakkan beristighfar, membaca penghulu istighfar, memohon keampunan untuk diri sendiri, ibu bapa, sahabat handai, muslimin dan muslimat, berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W (10 atau 100 kali pagi dan petang), berzikir (100 kali pagi/petang) serta bertasbih dan membaca takzim.

5. Banyakkan sedekah dan membaca Al-Quran. 

Daripada Anas bin Malik ra. katanya: “sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. apabila mereka melihat anak bulan di permulaan bulan Sya’ban, mereka bersungguh-sungguh dalam membaca Al-Quran.

6. Mengeluarkan zakat 

Disamping itu, umat Islam dianjurkan mengeluarkan zakat kepada fakir miskin agar mereka memiliki kekuatan untuk menyambut kedatangan bulan Ramadhan.

Sumber: Buku Rahsia & Amalan Bulan Islam oleh Kasmuri Semat Ma dan Himpunan 75 Solat-solat sunat.

error: Content is protected !!