TIP-TIP MEMILIH KAD KREDIT

Kad kredit wujud sebagai satu kemudahan kepada pemiliknya kerana kewujudannya menyebabkan pemiliknya boleh memiliki barang yang dimahukan tanpa menggunakan wang tunai. Jika berjahat untuk memohon kad kredit, adalah baik untuk anda memilih kad kredit yang paling sesuai dengan keperluan anda. Jika dilihat, setiap institusi kewangan / bank ada menawarkan beberapa pakej kad kredit yang mempunyai terma dan syarat yang berbeza. Berikut adalah beberapa tip dalam memilih kad kredit:

  • Hadiah promosi
    Pengeluar kad kredit mungkin menawarkan anda hadiah promosi seperti telefon bimbit, dompet kulit dan sebagainya untuk mempromosikan kad kredit mereka. Walau bagaimanapun, sebelum memohon, adalah penting untuk anda memahami syarat-syarat yang terkandung di dalam tawaran tersebut. Telitilah syarat-syarat yang ditetapkan untuk hadiah promosi dan denda yang akan dikenakan jika syarat-syarat tersebut tidak dipatuhi.
  • Kadar caj rendah sementara
    Untuk menarik perhatian anda, pengeluar kad kredit mungkin mengenakan yuran dan caj kewangan pada kadar rendah atau memansuhkan caj-caj tersebut sama sekali untuk sesuatu tempoh masa yang tertentu. Risalah promosi mungkin menitikberatkan kadar faedah permulaan yang rendah dengan saiz font yang besar dan mudah dibaca, kadang-kadang tanpa mempamerkan tarikh luput. Kadar faedah selepas tamat tempoh promosi pula tidak dinyatakan dengan begitu jelas, iaitu dengan menggunakan saiz fon yang kecil dan mungkin hanya tercatat di sebelah belakang borang permohonan atau di muka surat terakhir risalah promosi yang mengandungi banyak muka surat.Anda perlu memahami syarat-syarat promosi dan menyedari bila tempoh promosi akan tamat kerana anda mungkin dikenakan caj seperti biasa atau pada kadar yang jauh lebih tinggi setelah tempoh tersebut berakhir.
  • Caj kewangan, yuran dan tempoh tanpa faedah
    Sebahagian besar keuntungan perniagaan kad kredit adalah berpunca daripada caj kewangan. Anda akan dikenakan caj kewangan jika anda tidak membayar sepenuhnya baki belum jelas selepas tamat tempoh masa tanpa faedah berakhir. Walau bagaimanapun, bagi pendahuluan wang tunai dan pemindahan baki, anda mungkin dikenakan yuran dan caj kewangan bermula dari tarikh urus niaga tersebut dibuat. Halakan tumpuan anda kepada yuran pendahuluan wang tunai dan pemindahan baki, caj kewangan dan tempoh tanpa faedah yang ditawarkan oleh pengeluar kad kredit tersebut.
    1. Tempoh tanpa faedah
      Pengeluar kad kredit menawarkan tempoh tanpa faedah, yang biasanya 20 hari, dari tarikh urus niaga mula direkodkan atau tarikh penyata sehingga tamat tempoh berakhir, kecuali dalam transaksi pendahuluan wang tunai dan pemindahan baki. Oleh itu, pilihlah kad kredit yang menawarkan tempoh tanpa faedah yang lebih panjang.
    2. Caj untuk pendahuluan wang tunai/pemindahan baki
      Kebanyakan pengeluar kad kredit mengenakan yuran di samping caj kewangan apabila anda menggunakan kad kredit untuk mendapatkan pendahuluan wang tunai atau pemindahan baki. Yuran bagi pendahuluan wang tunai mungkin dalam lingkungan 3% hingga 5% daripada jumlah pendahuluan wang tunai. Oleh itu, pilihlah kad kredit yang mengenakan yuran yang rendah bagi pendahuluan wang tunai dan pemindahan baki.
BACA JUGA :  TIP-TIP UNTUK MENGURANGKAN CAJ KAD KREDIT

Moga bermanfaat. Pilihlah yang terbaik untuk anda. Kalau tidak betul-betul memerlukan, lebih baik jangan mohon kad kredit agar anda tidak dibebani dengan hutang. Memohon kad kredit bermaksud anda perlu bijak menguruskan hutang dan bijak mengawal nafsu untuk berbelanja.

Sumber:  website National Consumer Complaint Center.

Kongsi tip ini dengan rakan-rakan anda yang lain di FB dengan menekan like/share di bawah. Follow FB syaisya.com untuk update yang akan datang.

error: Content is protected !!