RAHSIA DI SEBALIK DUIT RAYA

RAHSIA DI SEBALIK DUIT RAYA

Aku tertarik dengan artikel khas Ramadhan yang ada di website ikim.gov.my ni. Artikel mengenai beri duit raya kepada kanak-kanak. Tajuk artikel ni “Beri Duit Raya Biar Ikhlas“.

beri duit raya biar ikhlas cara didik anak adab beraya

Apa yang ingin diperkatakan pada kesempatan ini adalah tentang amalan memberi duit raya kepada kanak-kanak. Memang pada Hari Raya kanak-kanak adalah orang yang paling gembira. Selalunya mereka akan pergi ziarah raya dari rumah ke rumah bersama rakan-rakan. Tujuannya bukan untuk menziarah sangat, lebih bertumpu kepada duit raya yang diberi tuan rumah apabila bersalaman.

Duit raya yang dihulur mungkin merupakan suatu ‘paksaan’ bersedekah. Sebenarnya syarat bersedekah ialah ia mesti diberi dengan ikhlas sekadar termampu. Ada ibu bapa yang memberi duit raya kerana orang lain memberikan duit raya kepada anak mereka. Jika tidak dibalas takut berkecil hati, lantas memberi kerana terpaksa atau menutup malu. Pemberian sedekah begini tentu kurang dari segi keikhlasannya.

Ada juga yang berniat untuk menunjuk-nunjuk semasa memberi duit Raya kepada kanak-kanak. Niat perlu betul, jangan sampai hangus pahala sedekah yang diberi. Seeloknya dimasukkan di dalam sampul agar jumlah wang yang diberi tidak dapat dilihat oleh orang lain.

adab anak-anak ketika beraya duit raya

Cara Didik Anak-anak Etika Beraya

1) Jangan Memilih Rumah Ketika Berziarah 

Kanak-kanak juga harus diingatkan agar jangan hanya berhari raya di rumah orang kaya sahaja. Tujuan asal berziarah pada Hari Raya adalah untuk merapatkan hubungan silaturrahim sesama orang Islam. Oleh itu jangan dipinggirkan mereka yang miskin dan kurang berkemampuan untuk memberi duit raya. Didik anak-anak agar tidak terlalu menjadi mata duitan. Walau macam mana daif pun tuan rumah, mereka tetap gembira menerima kunjungan anak-anak pada Hari Raya.

2) Ajar anak-anak adab beraya di rumah orang

Anak-anak perlu diberitahu adab ke rumah orang agar tidak cacat tujuan ziarah itu sendiri. Tujuan berziarah adalah untuk bermesra bersama jiran atau saudara-mara sambil bertanya khabar. Jangan pula tidak makan, tidak minum mahupun berbual, tetapi hanya duduk semata-mata menanti sampul duit raya. Ini tentunya bertentangan dengan semangat berziarah untuk bergaul dan mengeratkan lagi hubungan.

Seperkara lagi ada anak-anak yang mengunjungi sesebuah rumah sehingga dua tiga kali semata-mata untuk menambah duit raya. Tuan rumah selalunya tidak menyedari kanak-kanak itu pernah singgah lantas memberikan duit raya sekali lagi. Jangan pula mengambil kesempatan kebaikan tuan rumah untuk membuat duit raya. Berilah peluang kepada orang lain pula untuk menerima duit raya.

Trend Masa Kini : Tutup Pintu Supaya Kanak-kanak Tak Datang Beraya

 

buka tutup pintu pagar

 

Namun sejak akhir-akhir ini didapati semakin ramai yang tidak gemar membuka pintu kepada anak-anak yang datang beraya. Ramai yang ‘tutup pagar’ takut dikunjungi kanak-kanak yang datang untuk beraya di rumah mereka. Ada yang pura-pura tiada di rumah atau ada yang sedang duduk di rumah tetapi hanya buat tidak tahu apabila kanak-kanak memberi salam dan hendak beraya.

Ada yang malas dan takut letih melayan kerenah mereka. Mungkin juga kerana takut ‘terpaksa’ beri duit raya kepada kanak-kanak itu. Tetapi jika kita kurang bersedekah pada masa-masa lain, masa inilah paling sesuai untuk kita bersedekah kepada kanak-kanak yang datang berziarah. Masa inilah juga kita dapat berkenalan sekurang-kurangnya dengan bertanya “kamu ini anak siapa dan tinggal di mana?”

Luangkanlah sedikit masa untuk anak-anak yang bertandang ke rumah kita. Tidak perlu tunggu ‘rumah terbuka’ baru hendak melayan mereka. Pamerkan kemesraan dan sifat kasih sayang kepada anak-anak yang datang menziarah . Tetamu yang datang berkunjung ke rumah akan menghapuskan dosa-dosa tuan rumah. Apatah lagi apabila dia mendoakan kesejahteraan kita kerana melayannya dengan baik. Hidup kita akan dilimpahi keberkatan.

Kesan Buruk Tak Beri Kanak-kanak Datang Rumah Beraya

 

Jika kita tutup pintu kepada generasi muda ini, mereka akan bertambah jauh dari kita. Maka jangan pula mereka ini disalahkan jika mereka lebih gemar mendengar nasihat rakan sebaya, internet serta lebih banyak menghabiskan masa di depan kaca televisyen yang sememangnya banyak menyiarkan rancangan menarik semasa Hari Raya.

Harus diingat Hari Raya bukanlah hari untuk bersuka ria semata-semata, sebaliknya ia adalah perayaan keagamaan. Maka cara menyambutnya perlulah mengikut adab dan peraturan agar kita akan mendapat ganjaran dariNya.

Kredit gambar : Utusan.com.my, Indocell.net

PERSOALAN : BERPUASA BAGI IBU YANG MENYUSUKAN BAYI – MEMUDARATKAN?

PERSOALAN : BERPUASA BAGI IBU YANG MENYUSUKAN BAYI – MEMUDARATKAN?

BERPUASA BAGI IBU YANG MENYUSUKAN BAYI – MEMUDARATKAN?

penyusuan susu ibu breast feed ketika berpuasa

Hari ni nak kongsi mengenai beberapa persoalan yang timbul tentang berpuasa dan penyusuan ibu. Maklumat ini aku temui di kompilasi artikel Ramadhan  yang ada di laman web IKIM.gov.my bertajuk “Ramadhan dan Penyusuan Ibu“.

Tatkala Ramadhan menjelang tiba, sudah pasti setiap ibu yang menyusukan anak melahirkan kebimbangan di hati. Bukan tidak mampu untuk menunaikan ibadah yang tercatit dalam Rukun Islam tetapi kegusaran mengenangkan bagaimana untuk menyusukan bayi sedangkan diri terikat dengan ibadah puasa.

Yang dikhuatirkan ialah pengeluaran susu ibu semakin berkurang dan ibu tidak dapat menyesuaikan diri dalam keadaan berpuasa. Itulah stigma yang seringkali kita dengar bahkan seringkali disogokkan oleh kebanyakan orang.

Dalam Islam, setiap ibu yang menyusukan ataupun hamil dibolehkan berbuka puasa sebagai satu bentuk keringanan yang ditawarkan. Tetapi perlu ada sebab mengapa diberikan pilihan untuk berbuka kerana ia mempengaruhi cara penggantian hari berpuasa yang ditinggalkan. Sebab itulah, setiap wanita yang menyusukan bayi ataupun hamil perlu memahami perkara- perkara yang bersangkutan dengan pengurusan berpuasa iaitu bila keharusan untuk berbuka dan kesannya dari segi qadha’ dan fidyah.

Berpuasa Memudaratkan Ibu dan Anak?

Namun, dengan kajian- kajian yang dilakukan oleh ramai penyelidik, berpuasa tidak mendatangkan kemudaratan terhadap ibu-ibu yang menyusukan anak. Dengan itu, kaum ibu tidak perlu risau akan kekurangan penghasilan susu dan kesannya terhadap bayi selagi mana mereka istiqamah dalam mengamalkan pemakanan yang seimbang dan sihat semasa di bulan Ramadhan.

Kebimbangan dan kekhuatiran tidak seharusnya timbul apatah lagi berpuasa sebenarnya lebih banyak memberi kemanfaatan kepada semua berbanding kemudaratan. Kemudaratan hanya berlaku dalam kes- kes terpencil yang diharuskan dalam agama untuk berbuka puasa.

Pelbagai persoalan yang timbul di fikiran ibu-ibu yang menyusukan bayi berkenaan dengan puasa. Namun, ia mungkin akan terjawab jika kita sendiri faham akan erti pengurusan puasa dan juga tahu akan natijahnya dari sudut perspektif sains. Kadangkala bukan ibu yang menyusukan bayi bimbang akan kesihatan tetapi masyarakat sekeliling ataupun keluarga terdekat yang mempengaruhi minda dan pemikiran ibu- ibu bahawa berpuasa boleh membahayakan bayi yang disusui.

Sebab itulah perlunya pemahaman yang mendalam tentang puasa dan peri pentingnya penyusuan susu ibu agar pilihan untuk berbuka puasa itu dapat diminimumkan. Ia merupakan satu langkah yang proaktif supaya tidak timbul masalah yang mendatang dan kesihatan ibu dan anak juga akan diberkati Allah natijah daripada manfaat puasa itu sendiri.

Berpuasa Mengurangkan Pengeluaran Susu Ibu?

Banyak kajian menyatakan bahawa berpuasa tidak akan mengurangkan pengeluaran susu ibu tetapi berlakunya dehidrasi yang teruk kepada si ibu akan menyebabkan bekalan susu ibu akan berkurangan. Jika kita lihat, berpuasa hanya melibatkan penahanan diri daripada makan dan minum hanya memakan tempoh yang sekejap. Jadi tidak timbul masalah dehidrasi jika kita mengamalkan cara pemakanan yang telah dianjurkan dan minum air dalam kuantiti yang cukup.

Ada sesetengah individu yang kekurangan air di dalam badan adalah disebabkan kurangnya pengambilan air yang mencukupi sewaktu berbuka puasa dan kesannya adalah kepada badan untuk keesokan hari. Badan yang kekurangan air akan menyebabkan keletihan yang berpanjangan, sebab itulah disarankan agar mendapat bekalan air yang mencukupi untuk badan segar dan bertenaga terutamanya bagi ibu- ibu yang menyusukan bayi.

Ada juga sesetengah pendapat mengatakan bahawa, jika ibu- ibu berpuasa, akan meningkatkan penghasilan toksin di dalam badan dan akhirnya juga terdapat dalam susu ibu yang akan memberi kesan terhadap bayi. Namun, perlu kita ingat, bayi juga memiliki sistem imun yang dapat menahan diri mereka daripada serangan penyakit.

Tanggapan sebegini perlu kita ambil iktibar dan diterjermahkan dalam ertikata puasa yang kita jalani. Allah mensyariatkan berpuasa kepada hamba- hambaNya kerana pelbagai faedah dan manfaat yang diperolehi daripadanya. Terpulang kepada diri kita untuk memanifestasikan puasa dalam kehidupan yang sebenar dengan situasi seperti ibu- ibu yang menyusukan bayi.

Kajian yang dijalankan di Afrika Barat mendapati bahawa berpuasa pada bulan Ramadhan tidak memberi kesan kepada pengeluaran susu ibu yang menyusukan bayi tetapi kemungkinan komposisi susu ibu tersebut akan berubah. Hal ini adalah sejajar jika dikaitkan dengan pemakanan ibu semasa bulan Ramadhan kerana nutrien susu adalah bergantung kepada pemakanan ibu.

Seandainya pemakanan sihat dan sempurna yang diamalkan, ia tidak akan mengundang masalah terhadap komposisi susu tersebut tetapi jika terdapat kekurangan dalam pengambilan makanan, kemungkinan komposisi tersebut akan berubah. Namun, ia tidak mendatangkan masalah terhadap kesihatan bayi. Ini kerana, ia boleh dilihat sebagai suatu kitaran iaitu, ibu- ibu boleh menggantikan makanan atau zat yang tidak cukup tersebut selepas waktu berbuka. Selagi mana pemakanan sihat diutamakan, tiada masalah yang diundang buat ibu dan bayi yang menyusu.

Penyelidikan yang dijalankan di Amerika Syarikat juga menunjukkan tiada kesan yang signifikan terhadap pengurangan susu ibu semasa berpuasa di bulan Ramadhan. Badan wanita yang menyusukan bayi akan membuat beberapa penyesuaian metabolik semasa berpuasa untuk memastikan agar pengeluaran susu ibu tidak terganggu. Sungguh hebat penciptaan Allah. Penyusuan susu ibu digalakkan di dalam Islam dan dalam masa yang sama disyariatkan berpuasa dalam bulan Ramadhan.

Suruhan ini terkandung implikasi yang mendalam terhadap kesihatan setiap manusia khususnya yang bergelar ibu. Malah ada pula rukhsah yang dibolehkan berbuka puasa, istimewa untuk golongan tersebut jika berlaku kekhuatiran dan keadaan yang tidak diduga.

Tetapi, bagi kita yang ingin merebut peluang berpuasa di bulan yang mulia seharusnya tidak menjadikan penyusuan susu ibu sebagai suatu halangan untuk mendapat dua ganjaran yang hebat tersebut dalam masa yang sama.

Ditambah lagi, kajian-kajian sains terkini yang membuktikan tiada permasalahan yang menghalang wanita yang menyusukan bayi untuk berpuasa dari segi kesihatan ibu dan bayi itu sendiri. Malah, kita seharusnya percaya, sudah pasti ada hikmah dan keistimewaan yang tersirat di samping yang tersurat dengan apa yang Allah telah tentukan buat hambaNya yang bergelar wanita dan ibu.

Sesungguhnya Ramadhan akan menjadi lebih bermakna jika sebagai ibu, kita tidak mengambil mudah akan hal melaksanakan puasa dan meneruskan penyusuan bayi. Seboleh yang mungkin untuk meminimumkan pilihan berbuka puasa jika tiada apa- apa masalah ketika menyusukan bayi.

Secara tuntasnya, sebagai langkah proaktif bagi ibu- ibu, seharusnya mengambil peluang untuk mengkaji lebih mendalam hakikat disyariatkan penyusuan susu ibu dan tidak menjadikan Ramadhan sebagai satu halangan untuk memberhentikan penyusuan ibu mahupun mengambil langkah berbuka puasa sewenang- wenangnya untuk menyusukan bayi tanpa ada sebab yang munasabah.

Yang paling penting ialah pendidikan pemakanan yang sihat harus disemai dalam setiap diri ibu yang menyusukan bayi agar dapat mengharungi bulanpuasa dengan sihat dan cergas tanpa sebarang masalah.

Klik like & share info ini dengan rakan-rakan anda di FB jika anda rasa info ini bermanfaat untuk anda dan rakan-rakan. 🙂

TIP BERBUKA PUASA

TIP BERBUKA PUASA

Tips Berbuka Puasa

kurma bam ara

Kurma makanan terbaik untuk berbuka puasa

 

Pengambilan makanan di bulan puasa tidak berbeza daripada bulan-bulan yang lain. Pemakanan kita sepatutnya dapat membekalkan tenaga, vitamin dan mineral yang sepatutnya agar dapat menjalankan tugas-tugas harian seperti biasa. Makan secara sihat di bulan puasa adalah penting untuk menghindari beberapa masalah kesihatan yang biasa berlaku di bulan puasa seperti sembelit, makanan tidak hadam, kembung perut, pedih ulu hati dan kandungan gula rendah dalam darah.

 

1. Amalkan asas makan secara sihat

Walaupun berpuasa, kita tetap perlu mengamalkan asas makan secara sihat iaitu makan pelbagai jenis makanan secara sederhana dan seimbang.

Kita mesti mengambil makanan dari semua kumpulan makanan berasaskan Piramid Makanan Malaysia. Ini kerana tidak ada  satu makanan yang dapat membekalkan kesemua nutrien yang diperlukan oleh tubuh kita.

 

2. Makanan kita mestilah mengandungi kumpulan-kumpulan makanan berikut :
– Nasi, roti, bijirin dan hasil bijirin.
– Buah-buahan dan sayur-sayuran
– Ikan, ayam, daging dan kekacang
– Susu dan produk tenusu
– Sedikit minyak, lemak, gula dan  garam

 

3. Jangan makan berlebihan sewaktu berbuka puasa.

Setelah seharian berpuasa, aktiviti gastrik dalam perut akan menurun pada  tahap yang minimum. Apabila kita mengambil makanan semasa berbuka puasa, aktiviti gastrik akan meningkat.

4. Makanlah makanan yang ringan terlebih dahulu

Kebiasaannya kita akan mengambil makanan yang banyak sewaktu berbuka puasa. Ini akan menyebabkan peningkatan asid yang terlalu mendadak. Keadaan ini akan mengakibatkan ketidakselesaan dan boleh menjejaskan kesihatan.

 Makanlah makanan yang ringan terlebih dahulu sewaktu berbuka puasa untuk mengelakkan peningkatan aktiviti gastrik  yang mendadak. Ia juga dapat mengurangkan masalah semasa berpuasa dan kita dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna.

5. Ambil 3 biji buah kurma sebagai makanan pertama sewaktu berbuka puasa.

 Kurma bukan sahaja kaya dengan tenaga, tetapi juga  mengandungi serat, vitamin dan mineral. Kemudian diikuti dengan ½ cawan jus buah-buahan. Selepas itu bolehlah mengambil 1 mangkuk kecil sup sayur berserta dengan  1 atau 2 keping roti. Pengambilan makanan ini dalam kuantiti yang betul boleh mengembalikan paras gula yang rendah dalam darah kepada paras normal.

Walau bagaimanapun hadkan pengambilan makanan yang manis seperti kuih-muih manis, kek dan air manis dalam kuantiti  yang berlebihan sewaktu berbuka puasa.

Pengambilan makanan yang tinggi kandungan gula secara berlebihan boleh mengakibatkan peningkatan berat badan walaupun di bulan puasa.

6. Makan malam yang lebih berat adalah digalakkan sebaik sahaja selesai solat Maghrib.

Hidangan makan malam yang  disarankan ialah 1 ½ cawan nasi putih, 1 ketul ikan atau ayam, 1 cawan sayur campur.

Elakkan makanan yang berminyak dan bersantan. Ambil buah-buahan serta lebihkan minum air kosong. Hidangan lewat malam atau moreh, boleh diambil jika perlu.

Elakkan mengambil makanan yang berat, cukup sekadar snek ringkas seperti kacang, sandwich, yogurt, roti, biskut, 1 atau 2 ketul kuih dan 1 gelas susu.

Lebihkan mengambil air kosong. Pengambilan makanan yang berat seperti mee atau nasi mengakibatkan ketidakselesaan dan boleh  mengganggu tidur.

7. Tingkatkan pengambilan air, buah-buahan serta sayur-sayuran

Sembelit di bulan puasa merupakan masalah yang mungkin boleh berlaku di bulan puasa. Ia berlaku disebabkan kita kurang minum air, kurang mengambil makanan yang berserat serta makan banyak makanan terproses.

Sekiranya mengalami masalah ini, tingkatkan pengambilan air, buah-buahan serta sayur-sayuran. Pastikan mengambil 6-8 gelas  air, 3 hidangan sayur-sayuran dan ½ cawan sayur-sayuran serta 2 biji buah sehari. Pengambilan air juga boleh diambil dalam bentuk jus buah-buahan atau pun sup sayur-sayuran.

Untuk mengelakkan kehilangan air dari badan, kurangkan pengambilan minuman yang mengandungi kafein seperti teh,  kopi atau minuman berkarbonat. Kurangkan kekerapan mengambil makanan segera yang tinggi kandungan lemak dan garam.

Selain daripada itu, lakukan senaman ringan seperti regangan dan berjalan. Ini adalah penting untuk kelancaran sistem penghadaman.

Tip Berbuka Puasa ~ Kredit : Email dari Ikhwan Fahmi

RAHSIA MUDAH TARIK REZEKI

Hati saya tersentuh dengan perkongsian daripada Ustaz Asraff Ayob Alhafiz berkenaan RAHSIA mudah menarik rezeki. Sesungguhnya rezeki datangnya daripada Allah, jadi cara yang terbaik untuk mudah dapat rezeki ialah:

“Kalau nak rezeki banyak, tolong jaga ‘hati’ Allah”.

Tonton video ini sampai habis, saya yakin anda pasti belajar sesuatu daripada ilmu yang dikongsikan oleh Ustaz Asraf. Amalkan, InsyaAllah. Pasti dapat result yang anda sendiri tak pernah jangka.

p/s: Selama ini kita banyak bergantung kepada makhluk. Banyak bergantung kepada teknik. Tapi kita lupa, The Power Of Beyond Marketing!.

JADUAL WAKTU IMSAK & BERBUKA PUASA NEGERI JOHOR TAHUN 1433H (2012)

Bulan Ramadhan yang penuh keberkatan datang lagi. Alhamdulillah, moga tahun ini aku dapat juga berjumpa dengan Ramadhan.

Ramadhan bulan yang dinanti

Tanpanya hati terasa sepi

Kedatangan Ramadhan mendidik diri

Mentarbiyah naluri serta sanubari

Berikut adalah jadual waktu imsak dan berbuka puasa bagi daerah-daerah negeri Johor untuk Ramadhan tahun 1433H (2012):

ZON 1- PULAU AUR DAN PULAU PEMANGGIL

Selamat beribadah di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini 😀

Jadual diambil dari website rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) http://www.islam.gov.my/.

Kredit: Zie Fauzi

Kongsi Jadual Imsak dan Jadual Berbuka Puasa bagi negeri Johor ini dengan rakan-rakan anda yang lain di FB dengan menekan butang share ini.
MAKSUD SYAABAN & AMAL IBADAH YANG DIANJURKAN PADA BULAN SYA’BAN

MAKSUD SYAABAN & AMAL IBADAH YANG DIANJURKAN PADA BULAN SYA’BAN

 MAKSUD SYAABAN

Syaaban bererti ‘berserak-serak’. Bulan Syaaban bulan berserak-serak. Dinamakan demikian kerana pada bulan ini, masyarakat Arab pada masa dahulu berserak-serak pergi ke lembah-lembah mencari air, kerana pada bulan Syaaban ini biasanya mereka kekurangan air.

Dalam keterangan lain, sebab dinamakan Syaaban ini kerana pada bulan ini terdapat berserak-serak (banyak) kebajukan yang harus direbut oleh umat Islam.

Yahya bin Mu’az menyatakan bahawa kata-kata Syaaban terdiri dari 5 huruf, di mana setiap huruf mengandungi erti pemberian atau kurnia Allah kepada orang yang beriman.

Huruf “Syin”: Singkatan “syaf’ah” dan “syaraf” bermaksud syafaat dan kemuliaan.

Huruf “‘Ain” : Singkatan “Ahada” ertinya janji.

Huruf “Ba” : Singkatan “bir” ertinya kebajikan.

Huruf “alif” : Singkatan “Ulfah” ertinya lemah lembut.

Huruf “nun: Singkatan “nur” ertinya cahaya.

Jadi, setiap orang yang menghormati bulan Syaaban dan mengisinya dengan pelbagai amal ibadah, maka Allah menjanjikannya kemuliaan, kedudukan tinggi dan kebajikan yang sangat banyak di sisi Allah serta beroleh syafaat dan bersifat lemah lembut dalam hidupnya.

AMAL IBADAH YANG DIANJURKAN PADA BULAN SYAABAN

solat sembahyang berdoa

1. Solat sunat 12 rakaat pada malam 1 Syaaban

Tegakkanlan solat sunat 12 rakaat pada malam 1 Sya’ban dengan 6 salam. Dibaca pada tiap-tiap rakaat sesudah Fatihah akan surah Al-Ikhlas 5x. Semoga diampuni Allah dosanya.

2. Berpuasa

Aisyah r.a. berkata: “Tidak pernah Rasulullah S.A.W. berpuasa lebih banyak dari bulan Syaaban (kecuali bulan Ramadhan) kerana sesungguhnya baginda telah berpuasa sebulan penuh di mana baginda telah bersabda “Lakukanlah amalan apa yang mampu oleh kamu kerana sesungguhnya Allah tidak pernah jemu sehingga kamu sendiri yang berasa jemu.” (HR. Bukhari).

Zaid berkata: “Aku telah bertanya pada Rasulullah S. A. W., ya Rasulullah aku tidak pernah menyaksikan seumpama puasamu di bulan Syaaban kecuali di bulan Ramadhan. Rasulullah bersabda: “Itulah bulan Syaaban di mana manusia lalai mengenainya iaitu antara bulan Rejab dan Ramadhan, ia adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan pemilik sekalian alam. Maka aku sangat suka sekiranya amalanku diangkat sedangkan pada masa itu aku dalam keadaan berpuasa.” (HR Ahmad).

Dalam riwayat yang lain dikatakan bahawa diantara kelebihan berpuasa pada bulan Syaaban ialah:

a. Sesiapa yang berpuasa pada hari Isnin yang terakhir dalam bulan Syaaban akan diampunkan dosanya.

b. Mereka yang berpuasa pada hari Khamis pertama dan Khamis terakhir bulan Syaaban, akan dimasukkan ke dalam syurga.

c. Mereka yang berpuasa sunat sehari dalam bulan Syaaban akan diharamkan tubuhnya daru api neraka dan masuk syurga.

d. Mereka yang berpuasa 3 hari dalam bulan Syaaban dan berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W. sebelum berbuka puasa, akan diampunkan dosanya dan diberkati rezekinya.

e. Mereka yang dapat menyempurnakan puasa sunat sebelum Syaaban, maka akan dimudahkan Allah semasa sakaratul maut, terlepas dari seksa kubur, ditutupkan Allah aibnya pada hari kiamat dan diwajibkan baginya syurga”.

3. Mengerjakan solat sunat Nisfu Syaaban. 

Rujuk entri “keutamaan mengerjakan solat sunat Nisfu Syaaban”. Cara-cara untuk menunaikan solat sunat Nisfu Syaaban ada dikebanyakan kitab-kitab dan buku-buku himpunan solat-solat sunat. Setelah selesai solat sunat Nisfu Sya’ban, baca Yasin sebanyak 3x dengan niat pada Yasin pertama – mohon panjang umur dalam kesihatan dan kuat beribadah. Yasin kedua- niatkan mohon tetap iman dan jauh dari bala. Yasin ketiga – niat mohon murah rezeki lagi halal, untuk belanja ibadah.

4. Beristighfar, berselawat dan berzikir.

Perbanyakkan beristighfar, membaca penghulu istighfar, memohon keampunan untuk diri sendiri, ibu bapa, sahabat handai, muslimin dan muslimat, berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W (10 atau 100 kali pagi dan petang), berzikir (100 kali pagi/petang) serta bertasbih dan membaca takzim.

5. Banyakkan sedekah dan membaca Al-Quran. 

Daripada Anas bin Malik ra. katanya: “sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. apabila mereka melihat anak bulan di permulaan bulan Sya’ban, mereka bersungguh-sungguh dalam membaca Al-Quran.

6. Mengeluarkan zakat 

Disamping itu, umat Islam dianjurkan mengeluarkan zakat kepada fakir miskin agar mereka memiliki kekuatan untuk menyambut kedatangan bulan Ramadhan.

Sumber: Buku Rahsia & Amalan Bulan Islam oleh Kasmuri Semat Ma dan Himpunan 75 Solat-solat sunat.

error: Content is protected !!