CUEPACS BANTAH BEBERAPA OPSYEN SBPA: MINTA PENJAWAT AWAM TIDAK TANDATANGAN SURAT TAWARAN JPA

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) semalam membantah pelaksanaan beberapa opsyen Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang didakwanya kurang jelas, selain tempoh terlalu singkat diberikan kepada penjawat awam untuk menerima tawaran itu.

Serentak itu, kongres berkenaan meminta kira-kira 1.4 juta penjawat awam tidak menandatangani surat tawaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi SBPA sehingga mereka berpuas hati dan memahami sepenuhnya skim berkenaan.

Keputusan itu dibuat hasil undian sebulat suara 125 perwakilan CUEPACS seluruh negara yang berhimpun selama dua hari bermula kelmarin membincangkan isu pelaksanaan SBPA pada Mesyuarat Kongres Khas yang berlangsung di Hotel Putra Brasmana, di sini.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata keputusan membantah opsyen SBPA dibuat pada mesyuarat itu berdasarkan kepada pertimbangan wajar 125 perwakilan, sebagai mewakili isi hati 1.4 juta penjawat awam seluruh negara.

Katanya, lima inti pati digariskan melalui bantahan untuk dimajukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dijangka ditemui pada 19 Disember ini, antara lain meliputi desakan pembatalan Exit Policy selain penjelasan kedudukan pelarasan gaji tujuh hingga 13 peratus seperti diumumkan melalui SBPA baru-baru ini.

“Buat masa sekarang, kita membantah pelaksanaan beberapa opsyen SBPA dan meminta kira-kira 1.4 juta penjawat awam tidak menandatanganinya terlebih dulu sebelum rundingan antara CUEPACS dan Perdana Menteri diadakan.

“Kita akan tetapkan temu janji pada 19 Disember ini, yang mana semua 125 perwakilan kongres seluruh negara dijangka menemui Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya bagi membincangkan secara terperinci permintaan serta desakan CUEPACS dalam SBPA,” katanya.

SBPA diumumkan Perdana Menteri pada 7 Oktober lalu dijangka membawa pelbagai faedah dan insentif kepada kakitangan awam yang dilaksanakan mulai tahun depan dengan beberapa perubahan seperti skim pencen, gaji dan elaun serta prospek perjawatan dengan tempoh perkhidmatan yang dilanjutkan sehingga usia 60 tahun.

Ditanya mengenai lima tuntutan terbabit, Omar berkata selain pembatalan Exit Policy dan penjelasan mengenai kedudukan pelarasan gaji, CUEPACS turut mendakwa tiada sebarang rundingan bersama diadakan antara kongres itu dan JPA yang dilihat memungkinkan wujudnya unsur berat sebelah.

“Kita juga nasihatkan pihak lain yang tiada kaitan dengan CUEPACS supaya tidak campur tangan dalam soal perjuangan kongres kerana ini hak kami untuk pertahankan kepentingan semua penjawat awam,” katanya.

Ada apa dalam SBPA?. Intipati pelaksanaan SBPA.

Update terkini!! Tarikh terima opsyen SBPA dilanjutkan ke 15 Januari, Opsyen bersara 60 tahun kekal 30 Disember

Sumber: Berita Harian

Beritahu rakan-rakan anda yang lain di Facebook tentang perkara ini dengan menekan butang share.

error: Content is protected !!

Fatal error: Allowed memory size of 268435456 bytes exhausted (tried to allocate 34809546 bytes) in /home/eertoado/public_html/wp-includes/class-wpdb.php on line 3466