Pada entri yang lalu, telah dijelaskan larangan pertama hingga yang kelima.  Pada entri kali ini, akan dinyatakan pula larangan ke-6 hingga larangan ke-8.

6. Wanita Menyambung Rambut

Perbuatan menyambung rambut atau memakai rambut palsu adalah termasuk perhiasan yang dilarang keras dalam Islam. Seseorang wanita Islam yang gemar menyambung rambut dengan apa tujuan sekalipun tidak dibenarkan dan dilaknat oleh Allah S.W.T. kerana mengubah anugerah Allah dalam erti kata menambah atau mengurangi dengan maksud agar nampak menarik dan anggun pada pandangan masyarakat.
Dari Asma’ r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Ada seorang wanita bertanya kepada nabi s.a.w.: Ya Rasulullah, sesungguhnya anak saya terkena suatu penyakit sehingga gugurlah rambutnya dan saya akan kahwinkan dia, apakah boleh saya sambung rambutnya? Jawab Nabi: Allah melaknat wanita yang menyambung rambutnya dan yang minta disambung rambutnya”. 
(H.R. Bukhari)  
7. Wanita Mencabut, Mencukur dan Menipiskan Alis
Perbuatan berhias dengan menipiskan alis, mengukirnya, mencukurnya atau mencabut sebahagiannya kononnya supaya wajah kelihatan cantik, ayu dan anggun pada pandangan masyarakat sebenarnya merupakan salah satu perbuatan berhias secara berlebihan yang diharamkan dalam Islam kerana mengubah ciptaan Allah S.W.T. Pada hakikatnya, inilah amalan wanita zaman jahiliah dan kaum Yahudi untuk menarik perhatian kaum lelaki.
Rasulullah s.a.w. melaknat ke atas wanita Islam yang mencukur atau menipiskan alis sama ada untuk dilengkungkan atau ditinggikan. Lebih malang lagi jika perbuatan itu diperkenankan oleh suaminya untuk mendapat kebanggaan atau glamour dikalangan orang ramai. 
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Rasulullah s.a.w. melaknat wanita-wanita yang mencukur alisnya atau minta dicukur alisnya”. 
(H.R. Abu Daud)     
8. Mengikir Gigi

Islam melarang keras perbuatan wanita yang mengikir gigi atau menjarangkan gigi agar kelihatan cantik dan menawan. Perbuatan ini termasuk yang mendapat laknat Allah dan RasulNya kerana mengandungi unsur-unsur penyiksaan dan pengubahan bentuk ciptaan Allah tanpa ada sebab musabab yang mengharuskannya berbuat demikian.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Dilaknat wanita-wanita yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik yang merubah ciptaan Allah”.
(H.R. Bukhari dan Muslim)
Syariat telah mengharamkan kaum wanita merenggangkan giginya yang bertumpuk sehingga nampak susunannya rata kerana kerapian hasil perbuatan manusia. Cara seperti ini tercela dan bagi wanita Islam tidak dibolehkan mengubah sesuatu pun dan apa yang telah diciptakan Allah.  
Sumber: Petikan dari Buku: 33 LARANGAN RASULULLAH S.A.W TERHADAP WANITA

BACA JUGA :  TARIKH-TARIKH PENTING DALAM ISLAM 2011M (1432 -1433H) MALAYSIA
error: Content is protected !!