Atikah menyapu peluh di dahi dengan belakang tangannya. Dengan langkah longlai dia menghampiri pintu pagar rumah sambil tercungap-cungap. Sudah menjadi rutin pada hujung minggu dia akan keluar berjoging. Selalunya dia ditemani oleh rakan serumah, tetapi hari ini dia melakukan aktiviti itu berseorangan berikutan rakannya itu pulang ke kampung. Peti surat diperiksa sebelum dia melangkah masuk ke dalam rumah. Dia menghela nafas sambil melabuhkan punggung di atas sofa ruang tamu. Satu persatu kepingan surat yang berada di tangannya diteliti. Matanya tertumpu pada sampul surat berbunga dengan setem tertera tulisan London. Dengan jelas tertulis namanya sebagai penerima. Dengan penuh rasa teruja dia membuka sampul surat berkenaan.
———————————————————————-
Assalamualaikum…
Tatkala dikau membaca isi kandungan warkah ini, diriku sudah bergelar seorang suami. Tidak perlu lagi aku meneruskan coretan. Hanya sekeping foto pengganti diri sebagai bukti. Hanya kemaafan kupohon darimu. Kuharap kau mengerti.
Yang benar,
Shahrizal
———————————————————————-
Matanya kian berkaca saat merenung gambar persandingan seorang lelaki yang selama ini bertakhta di hatinya bersama wanita lain. Dia bingkas menuju ke arah bilik. Berdentum pintu bilik saat dia menutupnya. Dia duduk sambil memeluk tubuh di penjuru sudut bilik kecil itu. Mata dipejamkan sambil dia merapatkan dahi ke lutut. Tidak tertahan lagi perasaannya. Berlinangan air mata seperti tidak mahu berhenti. Bercucuran. Ternyata sekeping nota ringkas yang baru dibaca itu benar-benar telah melukakan sekeping hati yang ampuh. Sekeping gambar yang tadinya berkeadaan sempurna kini bertaburan di atas lantai. Bersepah dicarik-carik oleh Atikah dengan segumpal perasaan amarah. Dia keliru dengan perasaannya sendiri. Bercampur-baur sentimen yang dirasai olehnya. Adakah dia hanya perlu akur dengan kekecewaan ini dan menutup segenap ruang hatinya dari perasaan cinta atau mungkinkah suara gemersik sang kekasih bisa bergema kembali.
——————————————————————
Atikah duduk di bawah pokok sambil berborak dengan teman serumahnya, Nadia. Jika tadi jantungnya berdegup kencang, kini, nafasnya sudah mula beransur tenang. Hari ini mentari terik membiaskan cahayanya. Terasa menyengat kulit putih gebu Atikah. Jam di pergelangan tangan dikerling. Baru pukul 9 pagi. Masih awal lagi untuk pulang. Atikah dan Nadia mula mengeluarkan bekas-bekas makanan yang dibawa dari rumah. Hari ini, mereka bersarapan di taman tempat mereka selalu berjoging. Saja mahu mengubah suasana. Sekali-sekala tukar angin. Sedang asyik menikmati kelazatan sandwich tuna, Atikah mula tersedar, ada mata yang asyik merenung tajam wajahnya sedari tadi. Rona di wajah Atikah juga sudah bertukar merah. Malu direnung sedemikian. Sifat malu sudah sebati dengan dirinya sejak kecil lagi. Usai menjamu selera, kedua-dua gadis comel ini mula mengangkat punggung, mahu pulang ke rumah. Tiba-tiba, telinga Atikah menangkap satu suara garau yang memanggil namanya dari belakang. Atikah memusingkan badannya. Di hadapan matanya kini, seorang jejaka berkulit sawo matang yang asyik merenungnya tadi.
“Saudari ini, Nur Atikah Binti Sulaiman, ke?” Soal lelaki sawo matang itu.
Jantung Atikah berhenti berdegup seketika. Tersentap dengan pertanyaan lelaki yang tak dikenalinya itu. Dahi Atikah berkerut seribu. Cuba memikirkan siapakah gerangannya jejaka di hadapannya. “Bagaimana dia boleh tahu nama aku?”. Getus hati kecil Atikah.
“Saya Shahrizal. Ketua pasukan olahraga Sekolah Menengah Tengku Aris Bendahara pada tahun 2004. Saya mengenali saudari ketika saudari menjuarai acara 800 meter di Kejohanan Olahraga peringkat Daerah Mersing”. Jelas Shahrizal, merungkai persoalan yang bermain dibenak Atikah. Huluran tangan Shahrizal dipandang sepi oleh Atikah. Tidak menjadi amalannya berjabat tangan dengan lelaki yang bukan muhrimnya. Gaya hidup Islam yang diterapkan dalam dirinya sejak kecil lagi sudah sebati dalam dirinya. Shahrizal menarik semula huluran tangannya sambil tersenyum kelat. Faham dengan perlakuan Atikah dan malu dengan perbuatan sendiri.
Sejak dari hari itu, Atikah sering berhubung dengan Shahrizal. Ketulusan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Shahrizal benar-benar menambat hati Atikah dan akhirnya mereka saling menyulam kata-kata cinta antara satu sama lain. Hari-hari yang dilalui bersama Shahrizal menambah sinar dalam hidupnya. Semuanya indah belaka. Terlalu indah dan mengasyikkan. Tiada cacat celanya. Semuanya berkaitan Shahrizal terlalu sempurna di mata Atikah. Hanya Shahrizal jejaka di hatinya. Tiada yang lain.
Suara lunak muadzin melontarkan azan menerpa masuk ke telinganya. Atikah tersentak. Lenyap segala kenangan indah bersama Shahrizal. “Astaghfirullahala’zim”. Atikah beristigfar beberapa kali sambil menyapu muka dengan telapak tangannya. Lama sungguh dia mengelamun, terawang-awang fikirannya tidak berpijak di bumi yang nyata. Azan yang berkumandang memanggil-manggil dan mengajaknya untuk bersolat. Atikah bingkas bangun menuju ke tandas. Mahu mandi membersihkan diri dan membersihkan mukanya yang melekit dengan air matanya.
Usai solat, Atikah menadah tangan, memohon pada Allah Yang Esa, Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
“Ya Allah, aku redha dengan ketentuanMu, Ya Allah. Aku pasrah. Aku tahu Kau Maha Mengetahui. Tiada lain yang lebih mengetahui selain Mu, Ya Allah. Kau mengetahui perkara-perkara yang telah berlaku, yang sedang berlaku dan juga yang akan berlaku. Aku hanya manusia biasa. Manusia lemah yang tidak berdaya. Keupayaan ku terbatas. Aku lemah, Ya Allah. Aku tak kuat menghadapi semua ini. Lalu, Kau berikanlah aku kekuatan untukku menghadapi semua ini. Aku anggap ini semua dugaan Mu, Ya Allah. Kau mahu menguji keimananku. Aku percaya semua yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi. Oleh itu, Ya Allah, kau tunjukkanlah kepadaku, hikmah disebalik kejadian ini. Ya Allah, ya, aku tahu. Andai hanya aku yang merasakan dia yang terbaik untukku, tapi Kau tahu dia bukan yang terbaik untukku. Maka, Kau berikanlah aku yang terbaik. Kau jadikan Hawa untuk menemani Adam yang kesepian. Maka, Kau kurniakanlah kepadaku seorang lelaki yang boleh menemaniku dan memimpinku kejalanMu. Ya Allah, aku mahu menjadi bagaikan Khadijah di sisi Rasulullah”. Doa diamin dengan linangan air mata. Moga doa yang dipohon setulus hati diperkenanNya.
Telekung dan sejadah dilipat. Atikah menuju ke jendela. Melontarkan pemandangan di kejauhan. Matanya tertarik kepada sepasang burung merpati yang sedang bertenggek di tiang lampu. Ralit mata Atikah memerhatikan gelagat pasangan merpati tersebut. “Ah, burung juga ada pasangannya. Aku juga akan ada pasangan untukku yang telah ditentukan sejak azali lagi. Duhai hati, sabarlah. Ada ganjarannya untuk orang-orang yang sabar”. Pujuk hati Atikah.
Mendung,
Pergilah engkau.
Sinar,
Marilah datang,
Terangilah hidup ku.
Gelap,
Jangan sesekali datang padaku.
Air mata,
Mengalirlah engkau semahumu,
Hanya untuk hari ini.
Bahagia,
Walau cepat atau lambat kau datang,
Aku akan setia menantimu.
Cerpen di atas merupakan penyertaan untuk:
Klik untuk sertai |
adehhh ingat entri utk apa.. rupa2nya contest.. its so nice
@ayie: adehh? nape pula adeh? hee..dah lama nak buat entri ni, tapi baru ni berkesempatan. mungkin sebab hari ni tarikh tutup, so baru hari ni lah buat. memang suka join contest last minute. ^_^.
good luck
Lagi Gambar Isteri Imam Muda