KUALA LUMPUR: Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, bukti kukuh yang dikumpul berdasarkan penemuan tulang, beberapa senjata, barangan peribadi dan pengakuan suspek diyakini mampu mengaitkan dan mengheret suspek utama dan tujuh yang lain ke mahkamah bagi didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Beliau berkata, sehingga kini polis menghentikan operasi mencari bahan bukti di Ladang Gadong dan Sungai Panchau, Banting, bermula semalam. Bagaimanapun, anggota polis masih berkawal di tempat itu dan ia masih ditutup kepada orang ramai.
Tambah beliau lagi, bagi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dibuat pada serpihan tulang yang dipercayai milik mangsa, keputusan mengenainya hanya akan diperoleh sekurang-kurangnya dalam empat hari lagi.
“Misi mencari bahan bukti dihentikan hari ini (semalam) dan jika selepas ini kami dapati ada keperluan atau masih ada lagi benda yang perlu dicari atau dilakukan, kami akan sambung operasi,” katanya.
Bagi kes Sosilawati dan tiga rakannya, pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, manakala bagi pasukan menyiasat individu hilang ia diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Risikan dan Operasi, Datuk Hadi Ho Abdullah.
“Setakat ini, kami sudah kenal pasti suspek terbabit empat kes lain iaitu tiga kes individu hilang selepas mengadakan pertemuan dengan suspek utama. Kami tidak menolak kemungkinan mereka turut menjadi mangsa bunuh selain satu kes wanita mati ditikam di hadapan rumahnya tahun lalu,” katanya.
Keempat-empat mangsa disahkan dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting. Kes pembunuhan itu terbongkar selepas penahanan suspek utama yang juga seorang peguam berusia 41 tahun pada 11 September lalu diikuti beberapa tangkapan membabitkan tujuh individu lain. Semua suspek dipercayai pekerja suspek utama. Taksub kepada majikan dipercayai menjadi punca enam pekerja Ladang Gadong, Tanjong Sepat di Banting sanggup melakukan pembunuhan kejam melibatkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain dengan mengikat, memukul, menikam dan membakar mangsa sebelum abu kesemua mayat itu di buang ke dalam Sungai Panchau.
Gambar kredit untuk Kosmo!
Imbasan:
Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Sumber: Kosmo! dan myMetro
psst: Sejak kes pembunuhan kejam Sosilawati ini, ramai yang berubah fikiran tentang menjadi orang kaya. Ada yang dah takut nak jadi orang kaya. Moga kes ini dan kes-kes lain yang berkaitan dapat diselesaikan dengan cepat agar tiada lagi nyawa yang dikorbankan.
huh.. menakutkan sungguh…
@Rainbow: tu lah kan. zalim diorang ni