MURID TADIKA & 4 GURU JADI TEBUSAN LELAKI BERSENJATA

Tiga orang guru dan kira-kira 30 murid tadika dijadikan tebusan seorang lelaki bersenjatakan parang, tukul dan pistol yang menceroboh Tadika Serikids di Taman Sungai Abong Cemerlang, Muar.

Polis menerima maklumat kejadian itu kira-kira jam 9.30 pagi tadi dan lelaki itu mendakwa sudah mencederakan seorang budak dan mengugut akan mencederakan lebih ramai lagi jika polis memasuki rumah berkenaan. Sehingga jam 3 petang tadi, polis masih berusaha memujuk lelaki tersebut.

Dua wanita dipercayai saudara suspek turut berada di tempat kejadian bagi memujuk beliau melepaskan mangsa dan menyerah diri. Difahamkan antara tuntutan lelaki berusia 30-an itu ialah supaya diberikan sepucuk pistol automatik. Anggota Unit Tindakan Khas (UTK) berada di tempat kejadian sejak jam 1.18 petang. Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, turut berada di tempat kejadian.

Akhirnya, pada jam 3.41 petang anggota polis melepaskan sedas tembakan dan menyerbu masuk tadika tersebut untuk menyelamatkan kesemua tebusan setelah usaha memujuk lelaki terbabit membebaskan tebusan dan menyerah diri gagal.

Hasilnya, semua tebusan berjaya diselamatkan polis dalam serbuan tersebut. Lelaki yang bersenjata parang itu pula berada dalam keadaan kritikal akibat ditembak di kepala.

Kesemua guru dan murid terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Fatimah untuk pemeriksaan lanjut sebelum dibenarkan pulang.

Sumber: berita harian

Kongsi maklumat ini dengan rakan-rakan anda yang lain dengan menekan butang share ini.

error: Content is protected !!